Friday, June 14, 2013

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG PENDIDIKAN KHAS PERLIS 2013


Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Peringkat Negeri perlis 2013 merupakan satu acara tahunan yang diadakan bagi mencungkil bakat-bakat baru khususnya dari kalangan pelajar-pelajar istimewa di negeri Perlis. Acara kejohanan telah berlangsung pada :-

                         Tarikh     : 7 hingga 9 Mei 2013

                        Tempat   : Stadium Mini Sekolah Sukan Negeri (SSN), 
                                          SMK Syed Hassan, Kangar Perlis.


Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Peringkat Negeri Perlis  melibatkan penyertaan daripada 18 buah sekolah iaitu 7 sekolah menengah dan 11 sekolah rendah. Kejohanan yang diadakan pada setiap tahun ini adalah untuk memberi peluang kepada murid-murid Pendidikan Khas menunjukkan bakat dan kebolehan dalam acara yang dipertandingkan. Sukan juga dapat mewujudkan semangat daya saing yang sihat dan dapat memupuk konsep kendiri yang positif melalui penglibatan di dalam aktiviti sukan. Sukan secara tidak langsung juga dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kebolehan dan kemampuan murid-murid pendidikan khas dalam bidang sukan.

Hari Pertama ( 07 Mei 2013 )

Kejohanan Padang Dan Balapan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Perlis 2013 membuka tirainya pada hari ini dengan menyaksikan beberapa acara saringan dan akhir. Atlet-atlet kejohanan dari semua sekolah yang mengambil bahagian begitu bersemangat dengan memberi saingan yang hebat antara sekolah. Antara acara padang yang dipertandingkan pada hari  tersebut ialah lompat jauh dan lontar peluru, manakala acara  balapan pula membuka tirainya dengan acara 100M daripada pelbagai kategori. 

Semua acara yang dipertandingkan pada hari tersebut berlangsung dengan jayanya walaupun matahari terik memancar merembeskan bahang panasnya. Walaupun begitu, pegawai-pegawai kejohanan terus komited dalam menjalankan tugas demi melancarkan acara pada hari tersebut walaupun keringat membasahi bumi. Kehadiran Ketua Unit Pendidikan Khas iaitu Tn Hj. Shadan Bin Yahaya memberi sokongan telah menyuntik semangat para atlet untuk terus megah beraksi. Setelah selesai semua acara yang dipertandingkan pada hari tersebut, saat yang dinanti para atlet iaitu acara penyampaian hadiah kepada pemenang di mana terdapat muka-muka baru atlet yang bakal menyerlahkan arena sukan pendidikan khas Negeri Perlis satu hari nanti. Jom lihat gaya atlet beraksi pada hari tersebut.












Hari Kedua ( 08 Mei 2013 )

Hari kedua kejohanan berlangsung dengan jayanya dengan menyaksikan lagi beberapa acara padang dan balapan. Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat jauh dan lontar peluru akhir, saringan 200M pelbagai kategori dan 100M Sindrom Down Lelaki dan Perempuan rendah. Pelbagai gelagat peserta, guru-guru, pegawai-pegawai kejohanan sempat lensa kami rakamkan untuk tatapan semua. Cuaca yang panas pada hari kedua tidak melunturkan semangat atlet-atlet untuk terus beraksi. Di satu sudut, kelihatan dua orang pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Perlis hadir untuk memberi sokongan. Mereka adalah Ketua Sektor Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas iaitu Encik Suhaimi B. Mohd Noor dan Ketua Unit Pusat Kokurikulum Encik Azran Bin Mohamad @ Ahmad. Sebelum tirai dilabuhkan pada hari kedua kejohanan, acara penyampaian hadiah mengambil tempat. Penyampaian hadiah pada hari kedua kejohanan telah disempurnakan oleh Encik Suhaimi dan Encik Azran wakil daripada Jabatan Pelajaran Negeri Perlis. 
















Hari ketiga ( 09 Mei 2013 ) & Majlis Perasmian Penutupan

Khamis, 9 Mei 2013 merupakan hari ketiga kejohanan iaitu merupakan hari terakhir yang bakal menjadi penentuan sekolah manakah yang akan bergelar juara, pasukan manakah yang akan mengumpul pingat emas terbanyak. Hari ketiga kejohanan telah menyaksikan semua acara akhir. Antaranya ialah acara lompat jauh, lontar peluru, 800M Lelaki Senior, 100M Sindrom Down Menengah dan Rendah, 80M prasekolah dan acara kemuncak 4x100M Junior dan Senior. Kerancakan hari terakhir jelas kelihatan pada wajah guru-guru dan atlet kerana mereka berlumba-lumba untuk mengumpul pingat emas. 

Setelah semua acara habis dipertandingkan, acara perbarisan pula mengambil tempat. Semua sekolah yang mengambil bahagian membuat lintasan hormat di hadapan tetamu jemputan iaitu Encik Dun Bin Kasa, Pengarah Pelajaran Negeri Perlis, ketua-ketua sektor, ketua-ketua unit, pengetua-pengetua dan guru besar-guru besar. Majlis penutupan kejohanan padang dan balapan ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Perlis dengan memberikan kata-kata semangat kepada semua atlet. Gimik perasmian selepas acara perasmian adalah dengan melepaskan belon bewarna-warni ke udara dan persembahan daripada murid-murid cilik prasekolah SK  Kuala Perlis yang telah memukau semua penonton dengan aksi dan keletah mereka yang comel. Persembahan yang Berjaya menarik perhatian semua penonton itu mendapat tepukan yang gemuruh. Akhir sekali acara yang dinantikan adalah acara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh pengetua-pengetua dan guru-guru besar yang hadir, ketua unit dan ketua sektor. Yang paling ditunggu-tunggu adalah penyampaian hadiah untuk atlet yang berjaya meraih gelaran olahragawan dan olahragawati serta pengumuman sekolah manakah yang menjadi johan keseluruhan pada kejohanan kali ini. Acara kemuncak ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Perlis. Maka dengan berakhirnya upacara penyampaian hadiah tersebut, Kejohanan Padang Dan Balapan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Perlis melabuhkan tirainya secara rasmi dan akan berjumpa lagi pada tahun hadapan 2014!!!!!







































No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...